Tuesday, 12 July 2016

APA itu KIMCHI

APA ITU KIMCHI 김치
Kimchi (Hangul: 김치, gimchi) adalah makanan tradisional Korea, salah satu jenis sayur masin hasil pemerapan yang dibuat dengan mencuci sayuran yang sudah digaram dan memerap dengan bahan-bahan seperti udang kering, sos ikan, bawang putih, halia dan serbuk cili merah.
Sayuran yang biasa digunakan untuk dibuat kimchi adalah sawi putih dan lobak. Pada zaman dulu, kimchi dipanggil sebagai chim-chae(Hangul: 침채; Hanja: 沈菜) yang bermaksud "sayuran yang direndam."
Di Korea, kimchi selalu dihidangkan pada waktu makan dengan hampir semua masakan. Kimchi juga digunakan sebagai ramuan sewaktu memasak sup kimchi kimchi jjigae, nasi goreng kimchi kimchi bokkeumbap dan pelbagai masakan lain.
Kimchi terdiri dari ratusan jenis dengan ciri khas aroma yang keras, tajam, dan menyengat.
SEJARAH KIMCHI
Sayuran masin berwarna hijau merupakan bentuk awal kimchi sewaktu cili belum dikenali di Korea. Setelah dicampur dengan garam, sayuran dimasukkan ke dalam bekas tanah liat setelah diberi garam dan diperamm di dalam tanah sebagai persediaan makanan sewaktu sayuran segar tiada ketika musim sejuk. Orang Korea mula mengenali cili ketika pedagang Portugis dari Jepun yang datang ke Korea pada abad ke-16.
Pedagang Portugis menyebarkan cili ke seluruh dunia. Kapal-kapal Portugis berlayar melewati Tanjung Harapan di Afrika hingga ke Indiapada tahun 1498. Kemudian, cili yang berasal dari Amerika Selatan dibawa ke Asia melalui pelbagai pelabuhan di Afrika atau terus menyeberangi Lautan Pasifik. Pada tahun 1500-an, pedagang Portugis sudah berdagang di Tanah Melayu dan cili dibawa ke Chinabeberapa tahun kemudian. Pedagang Portugis sampai di Jepun dan Korea pada tahun 1549. Filipina mula mengenal cili pada tahun 1564 oleh perdagangan kapal Sepanyol yang membawa cili ke kepulauan Melanesia dan kawasan Mikronesia.
Resepi sayuran dan labu masin sudah dimuatkan ke dalam buku resepi terbitan tahun 1670, tetapi tidak menggunakan cili. Dalam catatan sejarah abad ke-17 ditulis tentang 11 jenis kimchi, sedangkan cili sebagai bahan kimchi mungkin baru terkenal bertahun-tahun kemudian (menurut perkiraan 200 tahun kemudian) [1]. Sebelum abad ke-19, kimchi hanya dibuat dari sayuran asli Korea kerana sawi putih berkemungkinan besar tidak dikenali di Korea hinggalah abad ke-19[2]
Kimchi adalah makanan terkenal di China dan Jepun. Kimchi versi Jepun sudah disesuaikan dengan selera tempatan, kurang pedas dan lebih manis.
Bahan-bahan
Kimchi dibuat dari bermacam jenis bahan sesuai dengan jenis kimchi dan selera orang yang membuatnya. Kimchi yang paling terkenal di luar Korea adalah Baechu Kimchi yang dibuat dari sawi putih (배추, baechu) dan lobak (무, mu) dicampur bawang putih (마늘, maneul), cili merah (빨간고추, ppalgangochu), daun bawang (파, pa), sotong (오징어ojingeo), tiram (굴, gul) atau makanan laut lain, halia (생강, saenggang), garam (소금, sogeum), dan gula (설탕, seoltang).
Di negara asalnya, terdapat lebih kurang 200 jenis kimchi termasuk kimchi khas daerah dan kimchi sayuran bermusim. Muzium Ladang Kimchi yang terletak di Seoulmencatatkan 187 jenis kimchi, dari kimchi zaman dahulu hingga kimchi zaman sekarang. Kepelbagaian jenis kimchi yang mudah dikenali, misalnya: 깍두기, kkakdugi dengan bahan utama lobak tanpa sawi putih, 오이소배기, kimchi timun yang disebut oisobaegi, dan kkaennip (susunan daun perilla yang direndam dengan kicap, cili merah, bawang putih, daun bawang, dan bahan-bahan penyedap lain).
Bakteria Laktobasilus yang berperanan dalam proses pemeraman kimchi menghasilkan asid laktat dengan kadar yang lebih tinggi daripada yogurt.
Kesihatan
Kimchi disebut sebagai salah satu dari lima "makanan tersihat" di dunia menurut majalah Health Magazine. Kimchi kaya dengan vitamin, membantu pencernaan, dan berkemungkinan dapat mencegah barah.[1] Sayuran yang sudah lama diketahui baik untuk kesihatan, apatah lagi ditambah bakteria hidup pada kimchi yang lebih banyak dari yogurt. Penggunaan cili merah dengan banyak dalam kimchi juga sering disebut-sebut baik untuk kesihatan.
Menurut pengkaji di Universiti Kebangsaan Seoul, terdapat beberapa bukti yang menunjukkan kimchi mungkin dapat digunakan untuk mengubati burung yang terjangkit selsema burung. Ayam yang dijangkiti selsema burung sebanyak 13 ekor diberi makan pati kimchi dan 11 ekor antaranya mula sembuh seminggu kemudian. Tetapi ketika ini tiada bukti penelitian yang sama boleh digunakan untuk mengubati manusia.[2]
Kebaikan kimchi untuk kesihatan manusia terus menjadi kontroversi kerana kimchi kadang-kadang dikaitkan dengan pelbagai kesan buruk pada kesihatan.
INFO DARI WIKIPEDIA.

No comments:

Post a Comment